gambar :http://arituarini.blogspot.com
Bukan mahu mencipta kontroversi, sebaliknya Aznil sukar memberikan perhatian kepada pertandingan kerana ibu, Norbaiti Surur, 88, makin uzur dan kerap mendapatkan rawatan di hospital.
“Hasrat menarik diri sudah saya fikirkan semasaknya. Selain MCS2, saya ada tugas sepenuh masa di Astro. Hanya Ahad saya dapat meluangkan masa sehari suntuk bersama ibu. Sebenarnya, sejak akhir tahun lalu, ibu kerap sakit. Batuk pun boleh membuatkan ibu ditahan di wad seminggu.
Syukur keluarga memahami
“Pada waktu begini, kami sebagai anak perlu memberi perhatian kepadanya. Syukur selama ini, adik-beradik sangat memahami keadaan saya yang sentiasa sibuk, tetapi saya sendiri harus menunaikan tanggungjawab ini.
“Sebelum ini pun, dalam keadaan ibu sakit, saya terbang ke Melbourne, Afrika dan London demi tuntutan tugas. Ketika musim pilihan raya, saya menyertai jelajah ke seluruh negara. Walaupun kami adik-beradik sering berhubung, saya rasa sangat bersalah,” kata anak keenam daripada tujuh bersaudara itu.
Dari nada suara, jelas menggambarkan kasih sayang mendalam seorang anak terhadap ibu. Walau perlu berhenti separuh jalan dengan MCS2, Aznil yakin semua pihak memahami keadaannya.
Tak tenteram ketika memasak
Aznil mengaku, sepanjang mengharungi cabaran MCS2, tumpuannya kerap terganggu kerana memikirkan ibu yang ditinggalkan bersama pembantu dan jururawat peribadi.
“Apabila memasak, kita perlu lakukan sepenuh hati. Tetapi fikiran saya sentiasa di rumah hingga kerap ditegur juri. Mana tidaknya, andai ada masa rehat, saya akan hubungi adik beradik atau pembantu bertanyakan keadaan ibu. Itu belum lagi curi-curi membelek telefon, bimbang ada panggilan atau khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada mereka.
“Daripada jiwa tidak tenteram memikirkan orang tersayang, baik saya undur diri. Itu lebih adil untuk semua. Kalau ikutkan, saya mahu tarik diri lebih awal lagi. Namun, minggu ini saya nekad. Biarlah saya berkorban demi insan tercinta,” katanya yang terpaksa menapis undangan ke luar ibu kota.
Bagi bapa kepada dua cahaya mata itu, pengorbanan dicurahkan ibu hingga dia menjangkau 51 tahun, tidak mungkin dapat dibalas atau dinilai dengan segunung intan.
Kongsi Pengacara Popular di Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2012 itu lagi, didikan, nasihat, tunjuk ajar serta kasih tanpa sepadan ibu meletakkan dirinya di tahap sekarang.
“Jasa seorang ibu sangat besar. Bersama restu dan sokongannya, saya dan adik-beradik terus gigih melangkah. Sekarang, dalam keadaannya yang kurang sihat, kami harap dapat menemaninya walaupun bergilir-gilir,” katanya.
Aznil berkata, atas nasihat doktor, dia terpaksa mengehadkan kunjungan pelawat ke rumah berikutan ibunya mudah diserang penyakit termasuk batuk dan selesema.
Berikutan pengunduran Aznil daripada MCS2, pengarah Michael Ang yang sepatutnya tersingkir pada episod sembilan, dimasukkan semula dan bersaing dengan 13 peserta lain seperti Syanie, Lydiawati dan Celina dalam program itu.
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Azniltarikdiri/Article/index_html
Ulasan
Catat Ulasan
Terima kasih atas komen anda yang CUTE..:)
Sila Datang Lagi...