Proton Panggil Balik Gen2 dan Satria Neo 2004-2008



Berita terkini buat pemilik kenderaan Gen2 dan Satria Neo...Proton Holdings Bhd (PROTON) memanggil semula kereta Gen2 dan Satria Neo yang dikeluarkan di antara 2004 hingga 2008 disebabkan kerosakan pada komponen 'clock spring' yang mungkin boleh menjejaskan keselamatan.

Pengarah Urusan Kumpulan PROTON, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, berkata komponen terbabit menyambungkan beberapa suis dan beg udara kepada peralatan seperti radio, hon dan kawalan ‘cruise’.
Ujian rutin mengenal pasti kerosakan pada ‘clock spring’ menyebabkan bunyi geseran dalam stereng, hon berbunyi atau lampu kereta terpasang sendiri, kerosakan suis kawalan audio dan dalam kes lebih serius boleh menyebabkan pelepasan beg udara di bahagian pemandu.

Panggilan sukarela itu adalah sebahagian daripada program jaminan kualiti global Proton membabitkan 15,911 unit atau dua peratus daripada 660,000 unit kereta yang dikeluarkan dan dijual dalam tempoh berkenaan.


Pemilik kenderaan yang terbabit boleh menghubungi mana-mana pusat servis Proton yang sah untuk membuat temu janji bagi mendapatkan pemeriksaan percuma.

Semua kos buruh dan peralatan yang berkaitan penggantian ‘clock spring’ akan disediakan tanpa caj di pusat sah Proton di seluruh negara.

Kepada sesiapa yang terbabit Proton akan menghantar surat  untuk memaklumkan mereka mengenai perkara itu.